Friday, April 13, 2012

Suara Takdir Berbisik (5)


Pohonan bunga di laman rumah Haji Zakaria hidup subur. Beberapa pasang rama-rama berterbangan kemudian hinggap dari bunga ke bunga. Berwarna-warni. Rama-rama dan bunga. Indah. Ada yang berbunga ungu, kuning, jingga dan ada juga yang berbunga merah. Daun-daunnya hijau, namun tak kurang ada juga yang berdaun kuning. ‘Daun ini sakit barangkali.’ Ngomel Siti Hajar Humaira sambil jari-jemarinya yang halus menguis-nguis daun yang berwarna kuning. Mahu ia gugur, biar hijau semuanya yang tinggal.

Laman ini penuh makna bagi Siti Hajar Humaira. Dia sayangkan pohon-pohon bunga yang tumbuh di situ. Dia terhibur melihat rama-rama dan kumbang menari-nari bersama angin. Dia bahagia melihat bunga yang di tanam kembang mekar. Jiwanya damai. Di situ hati kecilnya menyanyi riang.

Siti Hajar Humaira yang bersusah payah menanam benih, menyemai, membaja dan menyiram semua pohon bunga di situ. Kadang-kadang Makcik Senah tolong siramkan bila dia sibuk dengan aktiviti di sekolah, dan kadang-kadang mereka semua tak perlu menyiram bila hujan turun mencurah dari langit.

Siti Hajar Humaira sangat mencintai alam sekelilingnya, terutamanya pohon-pohon bunga yang ditanam sendiri oleh tulang empat keratnya. Dia mengasihi segala yang ada kerana dia tahu, semuanya ciptaan Allah yang Maha Berkuasa. Siti Hajar Humaira masih ingat dengan jelas sekali, ayahnya sering bercerita tentang kekuasaan Allah, tentang kebenaran yang dibawa oleh NabI Muhammad SAW. Ayahnya juga sering membacakan firman-firman Allah yang terkandung dalam Al-Quran. Siti Hajar Humaira sentiasa kusyuk mendengar. Setiap patah kata ayahnya dibiarkan masuk melalui kedua belah telinganya kemudian disimpan rapi di kotak ingatannya.

Ayahnya pernah berkata, Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 164;


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. “

Siti Hajar Humaira tak akan lupa sampai bila-bila. Alam ini bukti kekuasaan Tuhan. Terbentang di hadapannya tanpa perlu dia bersusah payah mencari atau menggali. Allah yang menciptakan segalanya. Hujan dan pohon bunga. Malam dan siang. Angin dan awan. Allah benar-benar berkuasa. Siti Hajar Humaira mengakui sepenuh hatinya.



Prang!

Siti Hajar Humaira yang sedang leka membelek bunga-bunga terkejut besar. Nyaris dia melompat memanjat bangku berdekatan. Dia mengurut-ngurut dada kemudian segera menoleh ke arah datangnya bunyi kuat itu. Di belakangnya, Siti Sarah Safiya sedang menatapnya dengan pandangan mata yang tajam. Berhampiran Siti Sarah Safiya berdiri pula kelihatan serpihan-serpihan pasu berserakan. Pasu kesayangan Siti Hajar Humaira.

Sebaik melihat pohon bunga dan pasu kesayangannya di tanah, Siti Hajar Humaira segera mengatur langkah mahu mengutip pohon bunga ciptaan Allah yang baru sahaja dibinasakan oleh adiknya.

“Adik, kenapa buat macam nie?” Tanya Siti Hajar Humaira tenang sambil tangannya bergerak pantas mengutip sisa-sisa tanah dan pasu.

Siti Sarah Safiya masih berdiri kaku. Memandang ke arah Siti Hajar Humaira dengan riak wajah yang tidak menyenangkan. Siti Hajar Humaira masih berlagak selamba, tidak kuasa melayan keletah adiknya itu yang kadang-kadang melampaui batas. Dia sudah sebati dengan sikap dingin beku adiknya itu, dia sudah tidak berdaya berbuat apa-apa. Biarlah kalau itu yang membuatkan adiknya gembira, dia akur.

Dia terus tunduk membongkok mengutip satu persatu serpihan-serpihan pasu yang bertaburan, takut nanti disepak orang luka kaki kelak. Siti Hajar Humaira redha walaupun pasu itu pasu kegemaran, hadiah dari arwah nenek 3 tahun yang lepas. Pasu itu dihadiahkan oleh arwah nenek sebaik sahaja arwah pulang dari kota Greece. Selalunya begitu, kalau nenek ke luar Negara, pasti ada buah tangan untuknya, juga untuk ibu dan ayah, juga adiknya.

Berhati-hati Siti Hajar Humaira memungut. Membayangkan bagaimana keadaan kalau bucu serpihan yang tajam itu terkena kaki Mak Cik Senah, kaki umi atau abah, atau mungkin kakinya atau kaki adiknya sendiri. Paling menggerunkan kalau darah mengalir tidak mahu berhenti. Siti Hajar Humaira tidak sanggup membayangkan. Dia memejam mata rapat kemudian membukanya semula.

“Kakak! Berani ya kakak beritahu ibu!” Suara Siti Sarah Safiya meninggi, menengking kakaknya yang lebih tua beberapa minit darinya itu. Siti Hajar Humaira terkebil-kebil memandang kea rah adiknya yang sedang kepanasan itu. Dia tidak mengerti apa-apa.

“Beritahu apa?” Jujur dia bertanya. Mencari akar punca yang membuatkan adiknya itu marah tiba-tiba. Tangannya berhenti bekerja, dia bingkas bangun berdiri sama tinggi dengan adiknya. Siti Sarah Safiya berseluar jeans biru, berbaju t-shirt hitam sedang berdiri sambil mencekak pinggang, lagaknya seolah-olah tidak sabar-sabar mahu menerkam ke arah kakaknya.

“Kakak jangan pura-puralah! Adik tahu kakak sengaja dengki. Suka kalau Umi dan Abah marahkan adik!” Cengil Siti Sarah Safiya lagi. Matanya buntang. Dia benar-benar telah terbakar dalam api kemarahan.

“Ya Allah, adik, kakak sayang adik. Kakak pun tak suka kalau Umi dan Abah marah adik. Tapia pa yang adik maksudkan ni? Kakak bagitahu apa?” Siti Hajar Humaira masih lagi meminta penjelasan daripada adiknya. Benar-benar tidak tahu.

Lain pula dengan Siti Sarah Safiya, mendengar kata-kata Siti Hajar Humaira bagai bara disiram minyak, api kemarahan kian marak menyala. Dia lansung tidak percaya akan kata-kata kakaknya sendiri yang juga kembarnya. Pada pandangan matanya, Siti Hajar Humaira hanya sekadar berlakon dan berpura-pura tidak tahu. Hatinya bertambah sakit, bagai disiat-siat.

“Aku benci kau! Sebab kau bagitahu pada Umi dan Abah yang aku tumbuk Farizah kat sekolah pagi tadi, Abah rotan aku tahu. Aku yang sakit, bukan kau! Aku akan balas semula biar kau pun rasa sakit. Lebih sakit dari apa yang aku rasa!” Tuduh Siti Sarah Safiya melulu tanpa usul periksa. Matanya penuh kebencian. Masih terbayang-bayang jelas di dalam kotak fikirannya bagaimana Abah melayang rotan ke udara lalu memiat tangannya.

Pap! Pap! Pap!

Sepuluh kali tangannya dirotan. Siti Sarah Safiya mengetap bibir menahan sakit. Tidak berani mengangkat wajah memandang wajah Abah. Namun jiwanya memberontak. Marah benar Abah kepadanya. Tanpa kasihan Abah terus merotan. Satu. Dua. Tiga. Empat. Siti Sarah Safiya menghitung di dalam hati. Akhirnya cukup sepuluh kali rotan dihayun dan dilibas. Bekas merah timbul pada tapak tangan kanannya sebaik sahaja rotan itu singgah. Semuanya gara-gara ada orang yang mengadu kepada Abah. Ada orang yang memberitahu kepada Abah bahawa hari ini Siti Sarah Safiya, pelajar tingkatan 3 telah bertumbuk di sekolah.

Tanpa usul periksa, dia yakin benar kakaknya yang melaporkan kepada Abah. ‘Penyibuk! Mentang-mentang pengawas sekolah, kaki bodek. Sengaja suka tengok aku kena rotan!’ rengus Siti Sarah Safiya sendirian. ‘Sepuluh kali Abah rotan aku, seratus kali aku akan balas!’ Siti Sarah mencemuh lagi. Beanr Safiya kini sudah tewas dan terpedaya dengan pujukan syaitan yang suka melaga-lagakan anak cucu Nabi Adam A.s.

“Adik, kakak tak cakap apa-apa pun pada Abah..” Siti Hajar Humaira tetap berusaha membela diri. Berani kerana benar. Memang betul dia tidak pernah memburuk-burukkan adiknya itu, terniat pun tidak, apatah lagi membuka mulut mengadu kepada Abah.

“Penipu!” Jerit Siti Sarah Safiya seperti singa lapar menerkam ke arah mangsanya. Kasar kedua tangannya menolak Siti Hajar Humaira. Siti Hajar Humaira berganjak ke belakang beberapa langkah kemudian jatuh terduduk. Tidak bersedia diterkam begitu, mudah dia tumbang. Belum sempat dia bangkit, adiknya menyerang lagi. Tudung yang menutup kepalanya terbang entah ke mana. Siti Sarah Safiya menarik-narik rambutnya tanpa simpati. Mereka berdua berguling-guling di atas tanah.

Siti Sarah Safiya terus menyerang bertalu-talu. Siti Hajar Humaira tidak membalas sedikit pun. Tidak sampai hati menyakiti adiknya. Dia sekadar mampu mempertahankan dirinya. Biarlah dia sakit, bukan adiknya. Dia sayang adiknya walaupun adiknya itu sering saja menyakitinya.

“Sarah! Berhenti!” Suara itu mengejutkan Siti Sarah Safiya. Mengembalikan kewarasannya yang baru saja kerasukan. Pantas dia mengalihkan pandangannya ke arah tuan empunya suara. Dia terkedu. Tidak jauh darinya berdiri sesusuk jasad yang sangat dia kenali. Dia bingkas bangun, membiarkan Siti Hajar Humaira terbaring di tanah. Menahan sakit. Bibirnya pecah mengalirkan cecair merah. Rambutnya kusut masai. Lengan kanannya juga berdarah. Siti Sarah Safiya lansung tidak berasa simpati. Apatah lagi berasa bersalah.

Sebaik terpandang Kamarul Aiman berdiri tidak jauh darinya, Siti Hajar Humaira panik menoleh kanan dan kiri, mencari tudung untuk menutup kepalanya. Pantas dia menyarung kembali ke kepalanya sebaik sahaja tangan kanannya berjaya mencapai sehelai tudung berwarna merah jambu yang terperosok di atas tanah. Mukanya merah menahan malu kerana Kamarul Aiman sudah terlihat rambutnya secara tidak sengaja. Dia membetul-betulkan baju dan tudungnya. Darah terus mengalir dari lengan kanannya. Tidak mahu berhenti.

“Abang Aiman. Bila Abang Aiman balik?” Siti Sarah Safiya mengukir senyum berlagak selamba. Dia gembira melihat lelaki itu. Hatinya berbunga-bunga. Sudah beberapa bulan dia tidak melihat lelaki itu. Terbit rasa rindu. Siti Sarah Safiya membetulkan bajunya. Dia menyapu tanah dan debu yang melekat pada tubuhnya. Bibirnya masih mengukir senyum. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kamarul Aiman tidak mengendahkan pertanyaan Siti Sarah Safiya. Dia segera mendapatkan Siti Hajar Humaira yang bersusah payah cuba bingkas bangun. Jarak dua langkah daripada Siti Hajar Humaira, Kamarul Aiman mematikan langkah.

Kamarul Aiman cuma mampu memandang penuh rasa simpati. Mahu menghulurkan tangan mustahil pula, mereka bukanlah muhrim.

“Hajar, lengan awak berdarah.” Cemas suara Kamarul Aiman sambil jarinya menunjuk ke arah lengan Siti Hajar Humaira. Siti Sarah Safiya bertambah berang melihat Kamarul Aiman yang tidak mengendahkannya, malahan terlalu mengambil berat terhadap Siti Hajar Humaira. Dirinya seolah-olah tidak wujud di situ.

“Mungkin terkena serpihan pasu.” Perlahan suara Siti Hajar Humaira menuturkannya. Dia menahan sakit.

“Awak tunggu sekejap, saya ambil First Aid Kit.” Belum sempat Siti Hajar Humaira menyahut, laju Kamarul Aiman bergegas lari masuk ke dalam rumah.

Bukan setahun dua mereka saling mengenali. Keluarga Kamarul Aiman berpindah menetap di sebelah rumahnya ketika Siti Hajar Humaira dan Siti Sarah Safiya berumur 9 tahun. Tujuh tahun sudah berlalu. Pantas. Kini mereka sudah bergelar anak dara. Sudah besar panjang.

Siti Sarah Safiya yang berdiri tidak jauh darinya mencebik. Geram. Dari dulu hingga kini, selalunya Siti Hajar Humaira yang dilebihkan. Abah selalu banding-bandingkan dirinya dengan Siti Hajar Humaira, malahan Abah juga sering memuji-muji kakaknya itu di hadapannya. Dia benci, kian lama kian membenci kakaknya sendiri. Umi pun serupa, sayangkan kakak lebih dari segalanya. Pantang kakak sebut, pasti dapat sedangkan dia sendiri sering terabai. Dia sebal. Dan sekarang, Kamarul Aiman juga makin ketara menunjukkan perhatiannya kepada Siti Hajar Humaira. Jiwanya kian bengkak. Siti Sarah Safiya merenung Siti Hajar Humaira tajam.

“Mengada-ngada! Sengaja buat orang kasihan! Jangan ingat aku terpedaya dengan lakonan kau!” Tengking Siti Sarah Safiya. Kaki kanannya menghentak tanah, protes. Kemudian dia menyusun langkah meninggalkan Siti Hajar Humaira sendirian di laman rumah.

Siti Hajar Humaira sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya melihat sikap adiknya itu yang makin lama makin berubah kasar. ‘Ya Allah, lembutkanlah hati adikku..’ rintihnya sendirian. Dia mengatur langkah ke arah bangku berwarna putih yang tidak jauh darinya berdiri. Darah masih mengalir. Terkena serpihan pasu barangkali. Siti Hajar Humaira mengetap bibir menahan sakit. Tidak lama kemudian, Kamarul Aiman datang terkocoh-kocoh, membimbit sebuah kotak berwarna putih. Wajahnya jelas kelihatan cemas. Siti Hajar Humaira cuba mengukir senyuman, menutup rasa sakit.

“Bila Abang Aiman balik?” Tanya Siti Hajar Humaira sambil tangannya menyapu ubat berwarna kuning pada lengannya. Matanya focus. Sekali-sekala dia mengaduh pedih.

“Pagi tadi Abang sampai. Hajar dengan Sarah masih selalu gaduh ke?” Soal Kamarul Aiman pula.

“Abang cuti berapa lama?” Bagai tidak mendengar soalan Kamarul Aiman, Siti Hajar Humaira bertanya lagi.

“Abang dah habis belajar. Cuti lama. Hajar tak jawab pun soalan Abang.”Sambung Kamarul Aiman. Nadanya lemah. Dia palingkan wajah tidak lagi menghadap Siti Hajar Humaira. Bukan Siti Hajar Humaira tidak tahu betapa lelaki di hadapannya itu cakna perihal dirinya. Bukan dia tidak tahu lelaki itu sentiasa mengambil berat terhadap dirinya sejak dulu. Tapi, untuk memburukkan adiknya sendiri, dia tidak sanggup. Lemah-lemah dia menggelengkan kepalanya. Berbohong entah pada siapa.

“Abang bukan baru kenal Hajar atau Sarah. Tadi pun Abang Nampak sendiri bagaimana Sarah menyerang Hajar. Sejak dulu sampai sekarang Hajar dibuli, sampai bila mahu beralah? Kena pijak?” Panjang tutur bicara Kamarul Aiman. Siti Hajar Humaira diam membisu. Dia juga tiada jawapan. Dia sendiri juga tidak tahu kenapa adiknya itu terlalu membenci dirinya. Sejak dulu malahan kini api kebencian di mata adiknya itu seolah-olah kian marak. Membuak-buak.

Hatinya terasa sebak tiba-tiba. Dadanya bagai ingin pecah. Kolam matanya bergenang. Dia sedih mengenangkan sikap adiknya yang tiada tanda mahu berdamai dengannya. Tidak kira apa jua yang dia lakukan, pada mata Siti Sarah Safiya semuanya salah. Semuanya tidak kena.

Di dunia ini Cuma Siti Sarah Safiya sahajalah adiknya. Tapi mengapa sikapnya begitu? ‘Oh.. Apa dosaku pada dia, Ya Tuhan?’ Jiwanya berbicara. Berbahas dengan akalnya sendiri tanpa suara. Dia mengunci bibir.

“Jaga diri baik-baik, be strong, jangan jadi mangsa. Pertahankan diri. Tolonglah, jangan buat Abang risau… Tak lama lagi SPM kan? How’s your preparation?” Kamarul Aiman cuba mengalih topic perbincangan. Tidak mahu melihat Siti Hajar Humaira terus terdera.

“Alhamdulillah, so far so good, insyaAllah, dah tak lama lagi dah SPM.”Jawab Siti Hajar Humaira, cuba mengukir senyuman. Tawar.

0 comments on "Suara Takdir Berbisik (5)"

Post a Comment

Followers

 

*Bila Pena Menari Copyright 2009 Fashionholic Designed by Ipiet Templates Sponsored by Tadpole's Notez