Friday, April 13, 2012

Suara Takdir Berbisik (4)


Tok! Tok! Tok!

“Assalamualaikum.”

Pintu rumah diketuk beberapa kali. Kemudian kedengaran pula suara orang memberi salam dari luar rumah. Kamarul Aiman tersentak. Kaget. Semuanya berlaku begitu pantas. Baru sekejap tadi dia dikunjungi oleh tetamu yang tidak diundang, kini siapa lagi yang datang bertandang? Pantas dia menyusun langkah kaki bergegas ke muka pintu. Mahu memastikan siapa gerangan empunya suara.

Pintu dikuak perlahan. Mata Kamarul Aiman membulat sebaik sahaja pintu dibuka. Tetamu kali ini benar-benar tidak diduganya. Kamarul Aiman menepuk dahi beristighfar beberapa kali. Di hadapan muka pintunya berdiri beberapa orang lelaki. Ada yang berkopiah dan ada yang bersongkok. Ada yang berjubah dan ada juga yang berbaju melayu dan berkain pelekat. Lima orang semuanya.

“Maaf encik,kami dari Jabatan Agama Islam Selangor, kami telah mendapat laporan bahawa encik tinggal bersekedudukan dengan wanita bukan muhrim. Izinkan kami periksa rumah encik.” Jelas lelaki yang bersongkok hitam dan berbaju melayu biru laut setelah diam beberapa ketika. Kamarul Aiman tercegat, kaku tidak mampu berbuat apa. Mencegah tidak, tapi untuk mengizinkan, hatinya keberatan. Namun apalah dayanya untuk menghalang. Pintu rumah dibuka lebih luas.

Tubuhnya berasa seram sejuk tiba-tiba. Terbayang dikepalanya, beberapa minit lalu, Siti Sarah datang ke rumahnya, bertudung litup dan mengingatkan dia kepada Siti Hajar. Siti Sarah membawa sepinggan kuih kemudian tidak semena-mena dia jatuh pengsan di hadapan muka pintu. Kalut tidak tahu berbuat apa, Kamarul Aiman telah mendukungnya kemudian membaringkan Siti Sarah di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Baru sekejap dia masuk ke dapur mengambil air untuk disapukan ke muka Siti Sarah, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk orang. Kamarul Aiman bingung.

“Siapa gadis ini?” Tanya salah seorang dari pegawai itu sebaik sahaja melihat sekujur tubuh Siti Sarah terbaring di atas sofa. Kamarul Aiman mengunci bibir. Tidak tahu bagaimana harus dia menyusun kata. Matanya tertancap kepada Siti Hajar. Terbaring dalam keadaan yang mengghairahkan. Bahagian tubuhnya terdedah sana dan sini menampakkan sebahagian dari tubuhnya yang putih gebu.

“Sarah! Bangun!” Kamarul Aiman menyeru nama Siti Sarah sambil memercikkan air ke muka Siti Sarah. Mindanya sempat berteka-teki, hairan melihat keadaan Siti Sarah yang terdedah sedangkan baru sekejap tadi semuanya tertutup kemas. Namun dia gagal mendapat jawapan.

Siti Sarah membuka matanya perlahan-lahan. Dia menggeliat kecil seolah-olah baru terjaga dari lena yang panjang. Bajunya tidak berbutang pada bahagian atas mendedahkan kulitnya yang putih gebu di bahagian dada. Skirt labuh yang dipakainya pula terselak hingga ke bahagian atas lutut menampakkan sebahagian dari pangkal peha.

“Dia muhrim kamu?” Tanya pegawai itu lagi. Kamarul Aiman tidak bersuara, dia sekadar menggelengkan kepalanya. Kepalanya tunduk memandang lantai. Mindanya berkira-kira mencongak kebarangkalian yang mungkin akan menimpa dirinya dan Siti Sarah.

“Jadi kamu bersekedudukan dengan wanita yang bukan muhrim dengan kamu. Kamu berdua akan ditahan kerana berdua-duaan ditempat tertutup dalam keadaan yang mencurigakan.” Jelas pegawai itu lagi. Wajahnya tegas tanpa segaris senyuman. Kamarul Aiman cuba pertahankan diri.

“Tapi saya tidak bersalah encik. Kami tidak berbuat apa-apa.” Rayu Kamarul Aiman, namun tiada siapa yang mengendahkan. Siti Sarah pula hanya mampu berdiam diri. Tidak berkata apa.



“Papa tak peduli, kamu mesti nikah dengan Siti Sarah. Kamu dah malukan kita sekeluarga. Dan kamu juga harus bertanggungjawab terhadap Siti Sarah.” Tegas suara Encik Zamarul. Sejak mendapat tahu anaknya ditangkap khalwat, darahnya mendidih. Marah membuak-buak terhadap anak lelaki tunggal kesayangannya itu.

“Tapi papa, kami tak buat apa-apa..” Kamarul Aiman cuba membela diri. Memang kenyataanya dia tidak melakukan sesuatu yang diluar batasan. Semuanya berlaku pantas.

Selesai menunaikan Solat Maghrib pintu rumahnya diketuk orang. Seorang gadis menyerupai tunang kesayangannya berdiri di muka pintu rumahnya bersama sepiring kuih kemudian dia tiba-tiba pengsan dan.. Kamarul Aiman cuba mengingat semula. Seingat akalnya yang waras, dia tidak pernah menyelak atau membuka butang baju gadis itu, tapi mengapa sebaik sahaja dia kembali bersama pegawai-pegawai jabatan agama Islam, keadaan Siti Sarah terdedah sana-sini. ‘Ah! Aku diperangkap!’ Bisiknya di dalam hati. Untuk meluahkan dia pasti tiada siapa yang bakal mempercayainya. Perasaannya kini bercampur baur.

“Mana papa nak letak muka ni? Papa tidak mahu dengar apa-apa alasan lagi. Pernikahan kamu dengan Siti Sarah akan diadakan secepat yang mungkin, kamu dengar?” Kata-kata Encik Zamarul bagai panahan petir menyambar tangkai jantungnya. Kamarul Aiman tersentak, memandang ke arah Puan Aina yang mendiamkan diri dari tadi. Dia cuba meraih simpati ibunya namun Puan Aina cuma tunduk memandang ke lantai.

Kamarul Aiman cuba untuk pertahankan diri namun dia faham benar sikap ayahnya yang tegas itu. Bukan setahun dua dia kenal lelaki itu. Tiada gunanya lagi dia berkata apa, semuanya sia-sia. Kehendak ayahnya itu tidak dapat ditidakkan lagi.

‘Hajar..’ Hatinya merintih. Tidak sanggup mengkhianati cintanya terhadap Siti Hajar. Biarpun seribu tahun, dia tetap setia menanti kepulangan Siti Hajar. Apatah kini Cuma baru setahun Siti Hajar tiada. Kenangan dan harapan yang dibina bersama masih tetap segar di ingatan. Biarpun semua orang percaya Siti Hajar sudah meninggal, namun hatinya menidakkan. Kamarul Aiman yakin, Siti Hajar pasti kembali jua menyambung kembali janji yang terputus di tengah jalan.

Impiannya berkecai menjadi debu-debu halus terbang di bawa angin. Perintah ayahnya harus dipatuhi. Tiada lagi bantahan. Tidak lama lagi dia akan menikahi Siti Sarah. Gadis yang menyerupai tunangnya secara luaran namun sikapnya jauh berbeza dengan Siti Hajar. Dada Kamarul Aiman bagai mahu pecah. Tidak sanggup menempuhi hari mendatang tanpa Siti Hajar namun dia juga tiada pilihan lain.

********************
Siti Sarah merebahkan tubuhnya ke katil. Wajahnya terukir senyuman melebar. Gembira kerana rancangannya telah berjaya dan impiannya bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Kamarul Aiman pasti menjadi miliknya. Segala persiapan pernikahan sudah diatur. Dia akan menikah dengan lelaki itu tidak lama lagi. Hatinya berbunga-bunga riang. Dia baring terlentang, merenung syiling biliknya yang putih namun fikirannya melayang terbang tinggi membelah langit. Membayangkan hari-hari indah yang akan dilalui bersama insane yang dipuja sejak remaja. Tiada lain yang lebih indah dari itu.

“Adik.. Adik.. Tolong kakak dik…”Siti Hajar berpakaian serba putih. Kabus tebal memenuhi ruang. Siti Hajar merangkak penuh kepayahan cuba mendaki naik ke atas. Di bawahnya gaung yang begitu dalam, bersemak samun. Siti Hajar melambai-lambai tangannya meminta tolong. Makin lama suaranya makin sayup mendayu-dayu. Bayangnya kian samar kemudian hilang dari pandangan.

“Kakak!”

“Kakak jangan pergi!” Jerit Siti Sarah apabila bayangan kakaknya itu lenyap dari pandangan matanya.

“Kakak!!” Dia menjerit sekuat hatinya. Jantungnya berdegup begitu kencang sekali. Siti Sarah membuka matanya. Dia melihat ke arah kiri dan kanan. Dia masih terbaring di atas katil di dalam biliknya sendiri. Kabus yang tebal, hutan belukar dan kakaknya tiada di situ. ‘Ah! Aku bermimpi rupanya.’ Bisik Siti Sarah sendirian. Dia bangkit dari katilnya, mengunjurkan kakinya di birai katil. Bantal peluk berbentuk hati berwarna merah didakap dalam pelukannya. Kemas.

Dia duduk termanggu. Termenung memikirkan mimpi yang baru sahaja menganggu tidurnya sekejap tadi. Bukan pertama kali mimpi itu hadir dalam tidurnya. Bukan dua kali atau tiga kali, malahan dia sendiri tidak mampu menghitungnya dengan jari. Mimpi itu kerap menganggu tidurnya.

Dia bingkas bangun, cuba menggapai telefon bimbitnya di atas meja solek yang letaknya tidak jauh dari katil. Telefon itu diambil kemudian dia kembali melabuhkan punggungnya ke katil yang bercadar warna merah susu bercorak-corak. Dia menggenggam telefon bimbit itu kemas. Beberapa detik kemudiannya dia cuba mendail nombor seseorang yang tersimpan di dalam senarai buku telefon telefonnya. Namun belum sempat dia menekan butang hijau ‘panggil’, cepat-cepat jarinya menekan butang merah ‘kembali’. Dia memejam matanya rapat-rapat. Kemudian merebahkan tubuhnya ke katil kembali menatap syiling.

0 comments on "Suara Takdir Berbisik (4)"

Post a Comment

Followers

 

*Bila Pena Menari Copyright 2009 Fashionholic Designed by Ipiet Templates Sponsored by Tadpole's Notez