Friday, April 13, 2012

Suara Takdir Berbisik (3)


Siti Sarah gelisah. Telefon bimbit berwarna merah dalam genggamannya digenggam erat-erat. Menahan geram dan amarah. Sudah beberapa kali dia merancang namun semuanya hampa. Gagal jua. Sangkanya tanpa Siti Hajar, Kamarul Aiman akan jatuh ke tangannya. Mudah. Dia yakin begitu kerana antara dia dan kakaknya itu tiada apa yang berbeza. Luarannya mereka sememangnya serupa, kerana mereka dilahirkan sebagai kembar seiras. Berkongsi plasenta ketika dalam kandungan.

Tapi kenapa semakin dekat dia cuba menghampiri Kamarul Aiman, semakin jauh Aiman mengelak. ‘Entah jampi apa Hajar guna, keras betul pendirian Aiman. Entah apa yang ada pada orang yang dah tiada, aku yang ada ni kenapa dia tak pandang!’ Gerutunya sendirian. Sekali sekala mengetap bibirnya menahan geram. Dia menggenggam kedua belah tangannya. Menahan marah.

Siti Sarah berjalan berulang alik dari penjuru kanan ke penjuru kiri bilik. Tidak keruan. Kemudian dari kiri ke kanan pula. Otaknya ligat mencari helah. ‘ Aku tak peduli. Dia mesti jadi milik aku! Bukan hari ini pasti esok!’ Siti Sarah menanam azam bersungguh-sungguh. Bukan main-main, dia nekad. Kamarul Aiman pasti menjadi miliknya.

Sudah lama dia menanti saat-saat itu. Kamarul Aiman jatuh ke dalam pelukannya, membalas cintanya. Sejak usia belasan tahun dia menagih kasih dan cinta dari lelaki itu. Namun sedikitpun Kamarul Aiman tidak pernah memberi perhatian padanya, apatah lagi membalas cintanya. Waktu itu, Kamarul Aiman mabuk cinta pada Siti Hajar Humaira, kakaknya, tapi kini Siti Hajar Humaira sudah tiada. Sudah mati. Apa lagi yang dia mahu? Bertalu-talu persoalan itu bermain di benaknya, namun akhirnya dia Cuma mampu mengeluh panjang, jawapannya tiada pada dirinya. Sungguh dia juga tidak tahu.

Diam sejenak. Tiba-tiba Siti Sarah tersenyum sendirian, seakan mendapat ilham yang paling cemerlang. ‘Atau aku perlu menjadi Siti Hajar? Ya! Kenapa tidak? Aku sanggup buat apa saja untuk dapatkan Aiman.’ Dia berbisik sendirian. Senyumannya melebar. Yakin rancangannya kali ini pasti membuahkan hasil.

Laju dia mengatur langkah. Tombol pintu biliknya dipulas, pintu dibuka. Siti Hajar terus menyusun langkah. Menuju ke bilik kakaknya yang letaknya tidak jauh dari biliknya sendiri. Beberapa langkah dihayun, kini dia berdiri di dalam bilik kakaknya.

Siti Sarah memulakan rancangannya. Laci meja solek diselongkar. Dia tunduk membongkok. Satu persatu ditarik dan ditutup semula setelah apa yang dicari tidak ditemui. Dari atas ke bawah dan akhirnya dia dapat apa yang dia mahu. Sebuah dairi berwarna merah bersulam indah. Dihiasi ukiran kuntuman bunga mawar pada kulit hadapannya. Tiga kuntum semuanya.

Siti Sarah membelek sepintas lalu. Dia tersenyum puas. Hasratnya tercapai. Rancangannya pasti berjaya kali ini. Siti Sarah berdiri tegak. Menoleh ke kanan dan kiri. Masih belum puas dan mencari sesuatu. Sedang matanya melilau, sempat dia terpandang sekeping bingkai gambar. Gambar Umi dan Abah, dan di dalamnya juga ada dua orang budak perempuan yang sama comelnya, Siti Sarah dan Siti Hajar. Matanya terpaku seketika. Menatap gambar itu. Segaris rasa halus menyentuh sanubarinya. Terbit perasaan rindu. Namun cepat-cepat dia membuangnya jauh. ‘Ah! Aku benci dia. Mana mungkin aku rindu dia!’ Siti Sarah berperang dengan perasaanya sendiri. Dia segera mengalihkan pandangannya. Kini beralih ke arah sebuah almari besar yang berwarna hitam, letaknya rapat pada dinding.

Siti Sarah mengatur langkah, mendekati almari pakaian yang berdiri gah. Perlahan dia membuka almari tersebut. Sarat dengan pakaian Siti Hajar. Pelbagai warna namun kebanyakkannya berwarna merah, merah jambu, merah hati dan banyak lagi. Itu warna kegemaran Siti Hajar. Siti Sarah menarik satu persatu baju yang tergantung. Merapatkan ke tubuhnya, kemudian dia berdiri di hadapan cermin. Memusingkan tubuhnya ke kanan dan ke kiri. Sehelai demi sehelai kemudian dia memilih mana yang dia gemari. Dia tersenyum puas. Gembira dapat berbuat apa sahaja mengikut gerak hatinya tanpa ada siapa yang menghalang.

Siti Sarah terus menyelongkar. Satu persatu diselaknya. Pakaian yang mulanya tersusun kemas kini berserakan. Dia membuka bahagian bawah almari yang menyimpan koleksi tudung kakaknya. Banyak dan berwarna warni. Ada warna biru, merah jambu, hijau dan banyak lagi. Siti Sarah tersenyum, kemudian memilih beberapa helai tudung. Tidak lama kemudian dia kembali ke bilik tidurnya membawa beberapa helai tudung.

“Ehem!”

Mak Cik Senah berhenti mencuci pinggan mangkuk pantas menoleh ke belakang. Mencari arah datangnya suara orang berdehem. Mak Cik Senah menggenyeh matanya beberapa kali, seolah-olah tidak percaya melihat susuk tubuh di hadapan matanya. Wajah yang dirinduinya kini menjelma tidak jauh darinya. ’Apakah ini mimpi atau kenyataan?’ Mak Cik Senah berteka-teki. Dia mengatur langkah, merapati gadis yang bertudung litup itu kemudian memegang bahu gadis itu. ‘Sah! Ini kenyataan, aku tak bermimpi.’ Bisik Mak Cik Senah di dalam hati. Dia tersenyum girang.

“Hajar dah pulang? Bila Hajar Pulang?” Soalnya bertalu-talu. Gadis itu Cuma tersenyum.

‘Yes! Aku berjaya menipu orang tua ni, pastinya tak susah nak perdayakan Abang Aiman.’ Monolog Siti Sarah tanpa suara.

“Mak Cik. Dah, dah, pegi sambung buat kerja! Rimaslah!” Tengking Siti Sarah sambil kedua belah tangannya menolak tangan Mak Cik Senah yang memegang bahunya. Riak wajah Mak Cik Senah berubah tiba-tiba. Hampa. Harapannya musnah. Siti Hajar tak mungkin akan kembali lagi. Siti Hajar sudah pergi meninggalkannya. Siti Hajar sudah mati.

‘Astagfirullah..’ Mak Cik Senah beristighfar di dalam hatinya. Sedar dari lamunannya. Siti Hajar tidak pernah meninggikan suara terhadapnya, apatah lagi menengkingnya. Sahih, gadis yang berdiri di hadapannya itu bukan Siti Hajar. Mak Cik Senah yakin, itu adalah Siti Sarah tapi mengapa dia memakai baju dan tudung Siti Hajar? Makcik Senah berteka-teki. Dahi tuanya berkerut-kerut.

“Eh! Orang tua ni, apa pandang-pandang? Tak pernah Nampak orang agaknya.” Tajam suara Siti Sarah mengejutkan Makcik Senah dari lamunannya.

“Maafkan Makcik, Makcik ingatkan tadi..” Kata-katanya terhenti di situ.

“Ingatkan apa? Hantu Kak Hajar dah kembali?” Tungkas Siti Sarah pula tanpa sebarang riak kesal. Makcik Senah diam membantu. Dalam hati masih disimbah rasa kecewa.

“Masukkan kuih Seri Ayu tu dalam bekas, saya nak hantarkan ke rumah Abang Aiman.” Perintah Siti Sarah kasar. Walaupun rupa mereka sama namun sikapnya jauh berbeza dengan Siti Hajar. Siti Hajar halus bahasanya. Bila bercakap lemah lembut, suaranya rendah. Siti Hajar sopan santun dan suka tersenyum, tapi Siti Sarah berbeza. Kenangan bersama Siti Hajar mengetuk kotak memori Makcik Senah. Siti Sarah naik berang.

“Orang tua! Berangan pula! Dengar tak apa yang saya cakap tadi?” Tengkin Siti Sarah lagi sambil mencekak pinggang. Matanya dibulatkan. Marah.

“B..Baik.. Makcik masukkan sekarang..” Sambut Makcik Senah kemudian terus bergegas mencari bekas untuk memasukkan kuih. Siti Sarah masih berdiri tidak jauh darinya. Sekadar memandang tanpa inisiatif untuk membantu.

Ding dong! Suara loceng berbunyi setelah ditekan dengan jari telunjuknya.

“Assalamualaikum..”

“Assalamualaikum!”

Siti Sarah memberi salam berulang-kali. Mulanya perlahan kemudian ditinggikan suaranya setelah salam yang diberinya tidak berjawab. Dia berulang alik di hadapan pintu pagar berwarna emas. Jari telunjuknya menekan loceng yang melekat pada tiang pagar sekali lagi. Tidak lama kemudian pintu pagar dibuka dari dalam. Di hadapan muka pintu rumah kelihatan kelibat seorang lelaki. Kemas berseluar jeans dan berbaju t-shirt putih. Siti Sarah tersenyum riang. ‘Kamarul Aiman pasti tewas.’ Bisiknya. Akalnya terus memasang strategi.

“Waalaikum salam..”

“Hajar?”

0 comments on "Suara Takdir Berbisik (3)"

Post a Comment

Followers

 

*Bila Pena Menari Copyright 2009 Fashionholic Designed by Ipiet Templates Sponsored by Tadpole's Notez