Friday, April 13, 2012

Suara Takdir Berbisik (2)


Telefon bimbit Nokia N70 bergetar beberapa kali minta diangkat, sedikit sebanyak berjaya mengganggu-gugat perhatian si pemiliknya. Kamarul Aiman memandang jam yang melekap di pergelangan tangan kirinya, di dalam hati dia berdoa agar mesyuarat kali ini segera berakhir. Sejak beberapa jam yang lalu, jantungnya asyik berdegup kencang. Hatinya resah dan gelisah, bagai ada sesuatu yang buruk sedang berlaku namun dia sedaya upaya cuba menidakkan.

“Ah! Cuma mainan perasaan. Ya Allah, tenangilah hatiku. “ Bisiknya di dalam hati cuba memujuk diri. Namun panggilan masuk bertalu-talu dari bakal bapa mertuanya itu kini telah berjaya menggoyah ketenangannya. Dia kini bagai cacing kepanasan, kegelisahan.

Profesor Dr. Ghazali yakni Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia yang mengetuai mesyuarat kali ini bagaikan mengerti riak wajah rakan sekerjanya itu. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Rupanya sudah lebih 3 jam mereka bermesyuarat. Terlalu banyak perkara yang dibincangkan hinggakan dia sendiri bagaikan tidak menyedari derasnya waktu berlalu pergi.

“Baiklah, mesyuarat ditangguhkan. Saya rasa sampai sini dulu perbincangan kita pada hari ini. Kepada semua yang berkenaan, sila siapkan kertas kerja seperti yang telah ditetapkan dan sila hantar kepada saya segera. Terima kasih kerana hadir dan Dr. Kamarul, kamu ada apa-apa masalah ke? “ Ujar Profesor Dr. Ghazali sambil tangannya bekerja menyusun fail-fail di hadapannya.

Bukan setahun dua dia mengenali Kamarul Aiman. Malahan Profesor Dr. Ghazali telah mengenali Kamarul Aiman sejak dia masih remaja belasan tahun. Ketika bergelar pelajar tahun satu Fakulti Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Ghazalilah yang mengajar kelasnya subjek asas kejuruteraan kimia. Tidak cukup dengan itu, Professor Dr. Ghazali juga merupakan Penasihat Akedemik Kamarul Aiman ketika dia bergelar pelajar suatu ketika dulu.

Semua mata kini tertumpu ke arah Kamarul Aiman. Tidak kurang ada juga yang mengusik.

“Ehem, ehem, bakal pengantin baru kita ni, teringatkan bakal isteri ke? Sabar ya, seminggu saja lagi.” Dr. Kamal cuba bercanda. Mereka yang hadir tergelak kecil. Ikut mengusik sama. Tidak tahu resah gelisah yang menggila di dada seorang lelaki bernama Kamarul Aiman. Mana mungkin mereka tahu kerana lelaki itu sentiasa kelihatan tenang sambil mengukir senyuman.

“Saya minta diri dulu ya, bakal mertua saya telefon berkali-kali, mungkin ada hal kecemasan, minta maaf ya?” Sopan tuturnya mengukir senyum di bibir cuba menutup gelisah di hati. Professor Dr. Ghazali menganggukkan kepala tanda merestui. Mereka yang lain juga diam tanda tiada bantahan.

Kamarul Aiman segera keluar dari bilik mesyuarat. Nombor telefon yang tertera di telefon bimbitnya di dail semula. Deringan demi deringan namun tiada siapa yang menjawab. Jantungnya berdegup begitu kencang sekali. Di dalam hati dia hanya mampu berdoa agar semuanya baik-baik belaka. Allah yang Maha Pemurah, Allah yang Maha Pengasih. Lapangkanlah dadaku.

Kamarul Aiman menekan butang hijau untuk kali ke tiga. Deringan kedengaran bertalu-talu namun talian masih belum disambung. Pihak sebelah sana tidak menyambut panggilan dan dia hanya mampu berdoa.

“Assalamualaikum.” Kamarul Aiman segera memberi salam sebaik sahaja panggilannya dijawab.

“Waalaikumsalam Aiman.” Jawab empunya suara di hujung talian, lemah.
Sebaik sahaja mendengarkan suara yang tidak bermaya itu kian membuatkan Hati Kamarul Aiman bertambah resah. Dia penasaran tertanya-tanya.

“Maaf tadi saya ada mesyuarat tak dapat jawab panggilan. Kenapa ya pakcik? Semuanya baik ke?” Kamarul Aiman tidak lagi mampu menahan gelora perasaannya lalu terus mengajukan soalan.

“Siti Hajar..” Tersekat-sekat suara Encik Zakaria tidak mampu meneruskan kata-katanya. Jelas kedengaran suaranya yang sebak menahan tangis.

“Ya Allah.. Kenapa dengan Siti Hajar?” Kamarul Aiman dapat mengagak sesuatu yang tidak baik telah menimpa bakal isterinya itu namun di dalam hatinya tidak putus-putus berdoa, moga Allah melindungi Siti Hajar.

“Dia sudah tiada. Dia kemalangan, keretanya rentung, mayatnya tidak ditemui.” Kata-kata itu akhirnya berjaya menikam dada dan membunuh harapan Kamarul Aiman. Lututnya terasa longgar, lemah tidak bermaya dan dia kini jatuh terduduk.

“Ya Allah.. Innalillahiwainnailaihirajiun..” Hanya itu yang mampu terucap di bibirnya. Bebola matanya berkaca menanti masa ingin menumpahkan laharnya namun Kamarul Aiman tetap berusaha melawan perasaan sedihnya itu.

“ Ya Allah, beratnya dugaanku kali ini. Berat lagi ujian buat keluarga Humaira. Kau tabahkanlah hati-hati kami Ya Allah.” Rintih Kamarul Aiman. Hanya Allah tempat dia mengadu. Dan sebagai hamba dia mengumpul kekuatan agar redha dengan segala ketentuan Ilahi. Semua ini ketentuan Qada’ dan Qadar. Sebagai muslim yang percaya kepada semua rukun iman, dia sedar bahawa kini dia sedang diuji.

Allah yang meminjamkan Siti Hajar kepadanya dan Allah jua berhak mengambilnya semula. Dari Allah kita datang dan kepada Allah jua kita kembali. Bisik Kamarul Aiman berkali-kali memujuk lara hati. Talian masih bersambung.

“Tabahkan hati pakcik, Allah lebih menyayanginya. Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Pakcik sekarang kat mana?” Setelah hatinya kembali tenang, Kamarul Aiman menyambung kata-katanya yang terhenti seketika. Lelaki mana yang tidak terkejut mendengar berita seperti itu. Bakal isteri yang bakal dinikahi minggu hadapan kini telah kembali menemui Tuhannya. Hati mana yang tidak merintih, kehilangan seseorang yang belum sempat dimiliki. Dia wanita istimewa, seindah namanya, Siti Hajar Humaira.

0 comments on "Suara Takdir Berbisik (2)"

Post a Comment

Followers

 

*Bila Pena Menari Copyright 2009 Fashionholic Designed by Ipiet Templates Sponsored by Tadpole's Notez