Thursday, April 12, 2012

Pimpin Daku Ke Syurga (3)


"Kau pembohong!"
Kata-kata itu bagai panah tajam, menikam tepat ke jantung Nur Arina. Dia terkesima. Sedetik, Nur Arina ingin segera bangkit mempertahankan diri. Dua detik kemudiannya, dia diam membungkam. Bukan Nur Arina tidak kenal Khairunnisa. Nur Arina tahu dia bagaimana. Tanpa sebab musabab, tanpa alasan yang kukuh, dia tidak akan sengaja menyakiti. Bukankah Nur Arina dan dia, bagai bersaudara. Susah senang selalu bersama.

Nur Arina tunduk membisu. Menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembuskannya perlahan.

"Jadi, aku pada pandangan kau, seorang pembohong?" Nur Arina menjawab soalannya dengan soalan.

"Ya." Khairunnisa angguk.

Ah. Kenapakah dia perlu terlalu jujur? Sedangkan dia tahu, bukan itu jawapan yang ingin aku dengar. Nur Arina memejam matanya rapat. Kalaulah aku tak perlu membuka mataku selamanya, alangkah bagusnya.. Otak senteng Nur Arina mula berkira-kira.

Escapisme! Ya. Dia ingin jadi begitu. Tapi sungguh, Nur Arina tak mungkin mampu melakukannya. Nur Arina cuma manusia biasa yang tiada apa-apa kuasa luar biasa. Makan harus disuap dengan tangan sendiri. Berkumuh juga perlu menyucikannya dengan tangan sendiri. Seperti manusia normal yang lain.

"Tapi, kau tak semestinya betul. Aku bukan pembohong. Aku bukan penipu. Aku cuma menyembunyikan kebenaran, aku cuma tidak memberitahu perkara yang sebenar." Nur Arina cuba mempertahankan diri sendiri. Sekadar menegakkan benang yang basah.

"Itu kata kau. Apa pula kata orang yang melihat tindak tanduk kau?" Khairunnisa membidas tepat ke sasaran. Nur Arina tertusuk sekali lagi.

"Mereka boleh kata apa yang mereka mahu. Asalkan aku tahu apa yang aku lakukan, asalkan aku tidak membuat perkara yang salah, biarlah aku begini saja." Ujar Nur Arina lemah tidak bertenaga. Mana saraf yang membawa energi menghilang membawa diri, dia juga tidak tahu.

Itu bukan kemahuannya, tapi Nur Arina juga tiada pilihan. Bukan mereka yang menanggung segala beban, tapi dia. Maka biarlah dia sendirian memikul segala yang tersandang di bahu. Biarpun Nur Arina tidak tahu berapa Newton yang sedang dia galas, tapi dia percaya, Allah beri dugaan kepada hambaNya yang mampu - maka - aku juga mampu. Bisik Nur Arina.

"Kau hidup bermasyarakat. Tak boleh bersikap begini. Kalau kau hidup di hutan, lainlah. Kau seolah-olah mengundang fitnah, kemudian duduk berpeluk tubuh bagai tiada apa yang berlaku, perbuatan ini salah! Kau salah!" Tajam kata-kata Khairunnisa bagai belati menyiat-nyiat hati Nur Arina sehingga robek.

Aduh. Tidak berdarah, tapi sakitnya, hanya Nur Arina yang tahu. Dan Tuhan.

"Apa lagi yang boleh aku lakukan? Aku tidak berdaya. Tidak semua yang berlaku, di dalam kawalan aku. Aku ini lemah. Cuma mentimun. Digolek aku luka, menggolek juga aku yang luka. Jadi, biarkan saja aku begini.." Suara Nur Arina seakan-akan tidak mahu keluar. Tersekat-sekat.

"Kau menyiksa diri kau sendiri.. " Suara Khairunnisa kian kendur. Tidak lagi tegang seperti sebelumnya, barangkali terbit rasa simpati, secebis rasa simpati buat Nur Arina.

"Aku merancang, aku berharap. Tapi apa yang aku harapkan, apa yang aku rancang tidak semua jadi kenyataan. Bukan aku pinta jadi begini, tapi aku terima segalanya sebagai takdir terindah buatku. Bukan niat aku tidak berterus terang, tapi aku tidak pasti, apakah dengan berterus terang, keadaan akan bertambah baik atau sebaliknya? Mungkin lebih parah. Sekarang mungkin bukan masa yang tepat untuk mereka tahu apa yang aku dan kau tahu. Biarlah. Biarkan mereka berteka-teki. Dan biarlah juga aku pikul segala beban ini sendiri. Aku yang pilih jalan ini, aku harus kuat." Tutur Nur Arina dari lubuk hati yang paling dalam.

Khairunnisa diam. Masih lagi diam. Nur Arina mengerti, benaknya masih lagi bersarang seribu satu soalan. Dia juga begitu. Tapi dia percaya, Allah ada jawapannya. Nur Arina harus tanya Dia.

0 comments on "Pimpin Daku Ke Syurga (3)"

Post a Comment

Followers

 

*Bila Pena Menari Copyright 2009 Fashionholic Designed by Ipiet Templates Sponsored by Tadpole's Notez