Saturday, April 7, 2012

Pimpin Daku Ke Syurga (2)


Jari-jemari Nur Arina menari di atas papan kunci. Pantas. Malam yang sunyi begini sering mengundang seribu satu ilham, disulam emosi yang bercampur-baur. Tangannya terus menari, pipinya basah dengan airmata.


Assalamualaikum, selamat sejahtera ke atasmu, suamiku.

Moga kau sentiasa di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi. Nukilan ini dariku buatmu, imamku. Hanya untuk kau yang bergelar suamiku.

Suamiku. Kali pertama kita bertemu ketika takruf, kali kedua adalah pada hari pernikahan kita.

Singkat benar tempoh perkenalan kita, sepenuhnya aku berserah dan bertawakal kepada Allah swt. Tidakkan gugur sehelai daun ke tanah tanpa izinNya. Takkan jatuh setitik air ke bumi tanpa kehendakNya.

Setiap apa jua yang berlaku adalah ketentuan Ilahi. Sebagaimana katamu, kita merancang, tapi Tuhan juga merancang. Hanya perancanganNya yang pasti. Jika ada jodoh antara kita, tujuh lautan tak mampu menghalang.

Mereka yang bercinta bertahun-tahun pastinya hairan melihat kita. Bagaimana mungkin dua jasad dan dua hati bersatu tanpa rasa kasih? Bagi kita bukan payah, kerana kefahaman kita adalah sama. Orang yang dicintai belum tentu kita nikahi. Tapi orang yang kita nikahi pasti kita cintai. Seadanya.

Alhamdulillah, tidak sukar bagi kita untuk menyesuaikan diri. Kita berusaha untuknya. Bertoleransi. Bersama-sama mengemudi bahtera rumahtangga, ketawa menangis bersama. Berkongsi cerita bersoal jawab.

Kata John Gray, asalnya kita dari planet yang berbeza. Kau dari Marikh, aku dari Venus. Lucu benar bunyinya, tapi analogi ini ada betulnya. Kau dan aku ternyata berbeza. Diamku mungkin kerana merajuk berkecil hati. Diammu pula tidak mahu panjangkan cerita tambah masalah. Aku terima nikahmu kerana itu begitu. Kau menikahiku kerana ini begini. Banyak yang berbeza antara kita.

Hanya Tuhan yang menyatukan kita paling mengerti. Bagaimana usaha kita dalam melayari bahtera rumahtangga. Hormati setiap ketidaksamaan. Mencari satu persamaan dalam sepuluh perbezaan. Menghargai dan mensyukurinya. Memahatnya kukuh ke lubuk hati kita. Mengukirnya kemas ke dalam sanubari.

Kerana kita ada satu persamaan, biarpun cuma satu. Kita cuba ketepikan sepuluh perbezaan. Kita teruskan langkah bersama-sama. Kadang-kadang kita tersepak akar dan terjatuh. Kadang-kadang kita merangkak mendaki bukit, ada masanya pula berlari menuruni bukit. Dalam suka dan duka, hingga ke saat ini kita masih bersama.

Ini petua orang bersyukur. Seperti katamu, orang yang paling bahagia adalah orang yang redha dengan takdirnya. Kita belajar bertolak ansur. Aku tahu kau yang paling banyak beralah. Kita belajar memberi dan menerima. Aku juga sedar, kau yang paling banyak memberi. Terima kasih suamiku. Kita belajar untuk saling memahami dan alhamdulillah, rupanya bukan susah bagi kita memupuk keserasian.

Kau sebagai nakhoda. Aku mengerti perananku sebagai penolongmu. Dan aku juga terharu bilamana kau mempercayaiku dan menghargai sarananku.

Aku selalu dengar orang kata. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Dan begitulah sebaliknya. Jadi aku terima seadanya, andai kau ada kekuranganmu, aku juga ada kekuranganku yang tersendiri. Aku harap kau juga begitu.

Jodoh ini rahsia Tuhan. Sebagaimana aku tidak pernah menjangkakan kau adalah suamiku. Aku tahu kau juga begitu. Akad itu telah menyatukan kita. Sampai bila kita akan bersama, aku dan kau juga tidak tahu. Garis permulaan telah kita lewati, di mana noktahnya kita tidak tahu.

Aku redha menjadi isterimu. Aku juga redha kau sebagai suamiku. Hari ini kita saling ketawa, esok lusa mungkin kita menangis. Tapi jangan kau bimbang. Dunia ini cuma sementara. Bukan ikatan ini yang patut kita pertahankan. Tapi keimanan dan kecintaan kita pada Allah itulah yang lebih utama.

Andai dengan menjadi isterimu aku mendapat tiket ke syurga, alangkah indahnya. Tapi suamiku, andai sebaliknya yang terjadi, relalah kiranya kau lepaskan aku. Jangan kerana pernikahan ini, namamu atau namaku, tercatit di neraka. Naauzubillah.

Suamiku. Sebagaimana jasad kita ini hanya pinjaman. Aku mengerti kau juga bukan milikku. Kau milik Allah swt. Sebagaimana aku redha dan bahagia menjadi isterimu. Begitulah jua aku andai ditakdirkan perpisahan denganmu.

Cuma, buat masa ini. Nekadku. Azamku. Aku ingin jadi isterimu yang terbaik. Yang kau cintai, yang kau senangi. Yang kau kenang hingga ke syurga. Yang membahagiakanmu. Kau pernah kata, andai aku miskin tidak punya wang mana mungkin aku boleh bersedekah. Andai aku tidak bahagia, mana mungkin aku boleh membahagiakan orang lain.

Ku pegang kata-katamu, untuk membahagiakanmu, aku pasti membahagiakan diriku ini terlebih dahulu. Untukmu. InsyaAllah.

Suamiku. Masa untuk kita bersama mungkin sebentar saja. Mungkin aku pergi dulu atau mungkin juga kau yang pergi dulu. Atau mungkin juga ikatan kita terputus di tengah jalan. Kita tidak tahu. Dari itu. Akanku hargai setiap detik dan saat ketika bersama. Kerana aku mencintaimu dan engkaulah satu-satunya suamiku. Biarpun aku bukanlah satu-satunya isterimu.

Selagi kau mampu, suamiku, peganglah aku, pimpinlah tanganku. Jangan lepaskan. Bawalah daku ke syurga. Bersamamu.

0 comments on "Pimpin Daku Ke Syurga (2)"

Post a Comment

Followers

 

*Bila Pena Menari Copyright 2009 Fashionholic Designed by Ipiet Templates Sponsored by Tadpole's Notez